FAQ

Ceritakan serba sedikit tentang Yayasan Raja Muda Selangor dan mengapakah ia ditubuhkan?

  • YAYASAN RAJA MUDA SELANGOR (YRMS) telah ditubuhkan pada tahun 2000 dan dilancarkan pada tahun 2003 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, semasa Baginda masih lagi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Baginda Sultan Selangor Darul Ehsan adalah Penaung Di Raja Yayasan Raja Muda Selangor.
  • Dengan hasrat untuk melakukan sesuatu yang berbeza, YRMS telah ditubuhkan berlandaskan kepercayaan Baginda bahawa terdapat golongan remaja, walaupun kurang dari segi kecemerlangan akademik, mungkin mempunyai bakat dan kemahiran yang terpendam yang boleh dicungkil dan dikembangkan.
  • Golongan remaja ini jika diberi peluang serta bimbingan, insyaAllah, akan berupaya untuk mencapai impian mereka dalam mana-mana bidang yang diminati.
  • YRMS memberi bantuan kepada golongan remaja yang berusia di antara 18 hingga 29 tahun. Peluang bantuan ini terbuka kepada anak-anak muda di seluruh Negara - tanpa mengira bangsa, jantina atau pun agama, untuk mereka mencapai impian ke arah masa hadapan yang lebih baik.

 

Bagaimanakah YRMS membantu remaja yang mempunyai kekurangan kecemerlangan akademik?

  • Mengikut matlamat dan objektif YRMS, golongan remaja dibantu untuk  memperkembangkan potensi mereka dalam bidang kemahiran, supaya memberi mereka lebih keyakinan diri untuk kehidupan masa depan.
  • YRMS juga menyediakan khidmat nasihat, bantuan asas kewangan, latihan dan menjadi mentor untuk memberi galakan terhadap segala usaha mereka ke arah membina landasan yang kukuh di dalam dunia perniagaan.
  • Sasaran YRMS adalah kaum belia yang mempunyai bakat dan kemahiran yang terpendam; dari keluarga yang miskin; yang kurang kecemerlangan akademik; yang berisiko; dan juga remaja yang mungkin akan terjebak dalam masalah sosial.

 

Apakah program yang ditawarkan oleh YRMS dan bagaimanakah proses pemilihan pelajar dijalankan?

  • Terdapat 3 program utamayang diusahakan oleh YRMS, iaitu:
  1. ‘Talent For The World’
  • Program ini adalah salah satu usaha YRMS untuk membantu anak-anak muda yang kurang bernasib baik, yang mempunyai bakat dan kemahiran tetapi tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran atau ‘untuk maju ke hadapan’.  Dalam program seperti ini, hanya yang berminat, berbakat, dan yang terbaik, akan dipilih khas, untuk dilatih dan dibimbing oleh seorang ‘Mentor’– dimana bakat mereka akan ‘dikembangkan’.
  • Tiga orang belia yang pertama, yang telah berjaya dilatih dalam program ini, adalah Saudara Wong Eng Leong, seorang pelukis; Saudara Goh Chiu Kuan, seorang ‘potter’yang begitu cenderung dalam pembuatan arca-arca seramik; dan, Saudara Azhar, seorang ‘sculptor’ yang membuat bentuk-bentuk arca yang diukir daripada batu marmar.  Mereka bertiga telah dilatih oleh seorang Mentor iaitu, seorang Pelukis terkemuka, Encik Juhari Said.
  • Seorang lagi anak muda yang telah pernah dibantu dalam program ini adalah Saudari Ainil Abu Bakar, iaitu dalam bidang Sukan Golf.  Sebagai seorang Professional Golfersekarang, beliau telah membawa banyak kejayaan dan menaikkan nama Negara Malaysia, setelah memenangi beberapa pertandingan dalam bidang sukan Golf, samaada di dalam Negara dan juga di peringkat Antarabangsa.
  • Selain itu, seorang pelajar, Saudari Hamizatulakma, yang telah dilatih oleh Mentornya, Puan Asfarena, dalam bidang Jahitan & Rekaan Fesyen, telah ditaja oleh YRMS untuk turut serta dalam Pertandingan ASEAN Skills Competitionpada tahun 2010, di Bangkok, Thailand.  Beliau telah berjaya mendapat pingat gangsa di pertandingan tersebut; manakala seorang penyanyi ‘rapper’, dalam Program ‘Talent For The World’ ini, telah dilatih di bawah asuhan seorang mentor, Yogi-B, dalam Industri Muzik.
  • Seorang lagi anak muda di dalam program ini, adalah  seorang yang kurang cenderung di dalam bidang akademik, tetapi terpilih kerana cemerlang dalam bidang Kulinari.  Beliau yang ada bersama pada pagi ini, adalah Saudara Megat Danial Aizat, yang berasal dari Pulau Pinang.
  1. Latihan Berasaskan Kemahiran
  • Sehingga kini, YRMS telah menyediakan latihan berasaskan kemahiran kepada lebih kurang 1000 orang belia, tanpa mengira jantina, bangsa atau agama.
  • Kami menyimpan maklumat tentang perkembangan mereka melalui “Tracer Study”yang kami jalankan.  Setiap orang pelajar yang telah ditaja oleh YRMS untuk mengikuti kursus-kursus vokasional, akan diberi Kad Alumni.  Boleh dikatakan semua anak-anak muda ini yang telah dilatih di bawah tajaan YRMS, telah mendapat pekerjaan dan ada juga yang telah pun memulakan perniagaan mereka sendiri dengan jayanya.
  • Antara kursus yang ditawarkan adalah Kursus Jahitan, Penyelengaraan Penyaman Udara (Aircond Maintenance), Penyelenggaraan Automotif, Seni Kulinari (Amalan Dapur dan Bakeri), Seni Kecantikan, Seni Dandanan Rambut, Pendawaian Elektrik, Sistem Komputer, Membaiki Telefon Bimbit, Rekabentuk Lanskap dan Seni Kemasan Kayu.
  1. ‘Self-Discovery For Young Adults’ Workshop
  • Bengkel ini dijalankan oleh YRMS dalam usaha untuk membantu golongan pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang bakal melalui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah – dengan harapan memberi kesedaran kepada mereka, bahawa peluang untuk mendapat bantuan daripada YRMS sentiasa ada, walau pun mereka tidak berapa cemerlang dalam bidang akademik.  Mereka didedahkan kepada peluang untuk mendapat bantuan untuk menghadiri kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan.  Pihak YRMS juga ada mendapat permohonan daripada mereka, setelah mereka tamat Tingkatan 5 di Sekolah Menengah.
  • Bengkel-bengkel untuk kursus motivasi ini, pernah mendapat kerjasama serta bantuan daripada CIMB Bank Berhad.  Pada tahun ini pula, kursus motivasi ini dijalankan dengan bantuan dan kerjasama pihak RHB Bank Berhad.Semenjak dijalankan dari tahun 2003, sejumlah 300 orang pelajar Tingkatan 5 telah mendapat manfaat melalui program ini.

 

PROGRAM TAMBAHAN

  • Selain aktiviti utama yang telah disebutkan, kami juga menjalankan beberapa aktiviti Program Amalbersama anak-anak yatim.  Ini adalah untuk memberi pengalaman serta kesedaran kepada semua anak-anak muda yang sedang atau yang telah melalui kursus-kursus dengan tajaan YRMS.  Contohnya, adalah dimana pelajar Kursus Jahitan dibawa untuk mengukur dan menjahit baju untuk anak-anak yatim daripada beberapa Rumah Anak Yatim yang telah dikenalpasti.  Pelaja-pelajar Seni Dandanan Rambut, memotong rambut; manakala pelajar-pelajar yang lain, membantu mengikut pengkhususan kursus yang sedang atau telah dilalui.
  • Alhamdulillah, setakat ini, ramai sukarelawan-sukarelawan yang memberi sokongan dan membantu, termasuk juga pihak yang telah menderma bahan yang diperlukan, seperti kain ela, dan lain-lain, yang boleh disalurkan kepada anak-anak yatim
  • Namun begitu kami sentiasa memerlukan sokongan dan bantuan daripada pihak yang ingin menderma untuk kami, supaya secara tidak langsung, anak-anak muda dapat terus menjalankan aktiviti amal yang memberi manfaat kepada pihak lain yang memerlukan.

 

Mengapakah dirasakan penting untuk YRMS bantu golongan yang dipinggirkan?

  • Kos bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan remaja untuk masa kini dan akan datang, adalah amat besar.  Krisis pengangguran di kalangan remaja boleh meninggalkan “parut" seumur hidup.   Ini salah satu daripada cabaran yang besar yang dihadapi oleh negara kita dan ini mungkin akan membawa bukan sahaja masalah ekonomi dan sosial, tetapi juga terhadap peribadi anak-anak muda itu sendiri.  Hasrat kami ialah untuk membantu mengurangkan beban anak-anak muda ini serta dengan secara tidak langsung, untuk mengurangkan masalah yang berkaitan.
  • Oleh itu, YRMS menyediakan peluang untuk ditaja supaya para belia mendapat latihan kemahiran dan seterusnya mendapat sijil yang akan memberi mereka peluang untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan latihan berkaitan yang telah dilalui.

 

Setakat ini, berapakah jumlah wang yang telah dibelanja untuk membantu pelajar-pelajar tajaan YRMS?

  • Setakat ini, lebih daripada RM3 juta telah dibelanjakan bagi lebih kurang 1000 pelajar selama 10 tahun.  Kami mendapat bantuan dana dan derma bukan sahaja daripada badan-badan korporat tetapi juga daripada orang-orang perseorangan; tetapi kami masih memerlukan penderma-penderma yang bermurah hati dan sangat perihatin di atas permaslahan anak-anak yang tercicir dari bangku sekolah dan yang terpinggir, serta yang terkeluar dari arus pembelajaran akademik.  Dengan bantuan wang ringgit dan lain-lain yang di hulurkan kepada YRMS, dapatlah kami menganjurkan dan menambah lagi bidang-bidang kemahiran yang anak-anak muda boleh ceburkan diri dan memajukan diri mereka.

 

Apakah hala tuju masa depan YRMS?

  • Hala tuju YRMS adalah sejajar dengan matlamat dan objektif YRMS, iaitu untuk meningkatkan bilangan remaja yang dilatih, menawarkan lebih banyak kursus kepada golongan remaja dan mewujudkan peluang bagi golongan remaja untuk memenuhi impian mereka ke arah kehidupan yang lebih terjamin.  Bersama kita hari ini, ialah 2 orang pelajar yang telah berjaya dan mereka akan berkongsi pengalaman mereka sebagai pelajar tajaan YRMS.
  • Setakat ini, YRMS telah membantu lebih dari 1000 orang anak-anak muda.  Sasaran YRMS adalah untuk membantu sehingga 5,000 orang pelajar pada tahun 2020.
  • Oleh itu, kami sangatlah mengalu-alukan semua pihak badan-badan korporat atau individu yang berminat untuk membantu, agar mara ke hadapan dan memberi sokongan kepada kami.  YRMS sentiasa mencari sokongan yang berterusan dari segi tajaan dan perkongsian jangka panjang.  Jika ada yang ingin mewujudkan program “Corporate Social Responsibility (CSR), kami juga sedia menerima cadangan untuk mencapai matlamat bersama.
  • Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi kami di pejabat YRMS, atau boleh datang sendiri ke pejabat kami di:

 

Pejabat Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), Tingkat G, Bangunan Darul Ehsan, 3, Jalan Indah, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan,MALAYSIA   Tel: +603-5513 3500 Fax: +603-5513 5503 Laman Web: www.yrms.org.my